Presiden Guinea, Kolonel Mamady Doumbouya memberikan amaran keras terhadap pasukan kebangsaan negara itu menjelang saingan African Cup Of Nations (AFCON) yang akan bermula pada 9 Januari ini.

Pasukan yang diketuai oleh pemain tengah Liverpool, Naby Keita itu diundi dalam kumpulan B bersama Malawi, Senegal dan Zimbabwe dan pencapaian terbaik ialah pada tahun 1976 dimana mereka menamatkan saingan sebagai naib juara.

Kolonel Mamady merupakan pegawai askar yang mengetuai gerakan menumbangkan kerajaan pada 5 September lalu dan beliau memberikan amaran Guinea wajib memenangi saingan terbesar di benua Afrika itu atau perlu mengembalikan wang yang telah dilaburkan untuk mempersiapkan pasukan.

“Bawa pulang trofi kejuaraan atau kembalikan wang yang telah kami laburkan ke atas anda,” kata Kolonel Mamady.

BBC menganggap Kolonel Mamady sebagai salah satu daripada 25 rakyat Guinea yang bakal dikenakan sekatan oleh Kesatuan Eropah (EU) kerana pelanggaran hak asasi manusia.

Guinea akan memulakan saingan dengan menentang Malawi pada 10 Januari diikuti perlawanan kedua menentang Senegal yang turut diperkuatkan rakan sepasukan Naby Keita di Liverpool iaitu Sadio Mane pada 14 Januari. Zimbabwe akan menjadi lawan terakhir di peringkat kumpulan dan perlawanan akan berlangsung pada 18 Januari.

Selain Naby Keita, pasukan itu turut diperkuatkan oleh bekas pemain muda Barcelona, Ilaix Moriba dan pemain tengah AS Roma, Amadou Diawara.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak dunia di sini:

Tuchel Pertimbang Untuk Sisihkan Lukaku Berdepan Liverpool

Agbonlahor: Arsenal Kalah Sebab Pengadil Ketara Sekali Memihak Manchester City

Piala AFF 2020: Thailand Sahkan Kejuaraan Buat Kali Keenam